Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Satu sindiket dikenali sebagai Geng Weng dikesan licik memperdaya pemilik kenderaan mewah dengan tawaran untuk menjual kereta berkenaan.

Namun, selepas beberapa hari pemilik menyerahkan kenderaan kepada mereka, sindiket terbabit memaklumkan kereta itu dicuri sebelum mengarahkan mangsa membuat laporan polis.

Kenderaan mewah milik mangsa pula akan dijual dengan harga murah kepada pihak ketiga sebelum ia dipotong untuk dijadikan sebagai alat ganti.

Kegiatan licik kumpulan terbabit yang sudah beroperasi sejak 2014 itu terbongkar selepas polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh membuat empat serbuan pada 10 hingga 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 13 individu termasuk ketua kumpulan terbabit berusia 22 hingga 55 tahun membabitkan nilai rampasan RM1.3 juta.

Shafa'aton berkata, kegiatan sindiket terbongkar apabila pihaknya menerima laporan daripada ahli perniagaan berusia 56 tahun pada 1 September lalu berkaitan kehilangan kereta Audi Q7.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pemilik kenderaan itu membuat laporan palsu kerana kereta berkenaan sebenarnya diserahkan kepada ahli Geng Weng untuk dijual.

"Kereta itu tidak hilang sebaliknya dijual pemilik kenderaan kepada pihak ketiga untuk dijadikan alat ganti.

"Susulan itu, polis menyerbu beberapa bengkel, gudang, kondominium di Rawang, Setapak, Melaka dan ibu kota (Kuala Lumpur)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Shafa'aton berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 13 individu terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Kita juga merampas 13 komponen kenderaan yang masih mempunyai rekod hilang dalam gudang itu.

SEBAHAGIAN kenderaan mewah dan komponen yang ditemui selepas polis menumpaskan sindiket penipuan dan melupuskan kenderaan mewah curi 'Geng Weng'. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN kenderaan mewah dan komponen yang ditemui selepas polis menumpaskan sindiket penipuan dan melupuskan kenderaan mewah curi 'Geng Weng'. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Komponen ditemui itu membabitkan enam enjin pelbagai kereta mewah dan tujuh kenderaan yang sudah dipotong dua," katanya.

Katanya, lima individu yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 2:40 PM