GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, dekat sini, disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman ketika dihubungi mengesahkan terdapat kes positif di sekolah berkenaan.

Katanya, kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik-beradik disyaki dijangkiti wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya malah perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Selangor, Izmi Ismail berkata, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa kerana proses sanitasi sudah dilakukan.

Difahamkan, dua pelajar berkenaan sudah dikuarantin dan pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga sudah melawat sekolah berkenaan tengah hari tadi.

Terdahulu, beberapa pesanan dari aplikasi WhatsApp yang menyatakan terdapat dua kes aktif di sekolah berkenaan tular sejak semalam.

Menurut pesanan itu, pelajar tidak dibenarkan ke bilik-bilik khas seperti makmal komputer, makmal sains, bengkel dan lain-lain untuk meminimumkan pergerakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:22 PM