SUZILAWATI (kanan) bersama suami menunjukkan keadaan rumah mereka yang dilanda ribut awal pagi tadi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
SUZILAWATI (kanan) bersama suami menunjukkan keadaan rumah mereka yang dilanda ribut awal pagi tadi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: "Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi benda meletup sebelum mendapati keseluruhan bumbung dapur rumah hilang diterbangkan ribut."

Demikian kata Suzilawati Sharif, 41, apabila kediamannya di Parit Haji Aman, di sini, dipukul ribut, hari ini.

Suzilawati berkata, dalam kejadian pada 3.40 pagi itu, dia dan suami, Abdul Halim Ishak, 48, dan seorang anak berusia 15 tahun sedang nyenyak tidur.

Menurutnya, dia dan suami lantas bangun bagi memeriksa bunyi letupan terbabit sebelum menyedari keseluruhan bumbung bahagian dapur rumahnya diangkat ribut.

"Ketika itu, angin bertiup kencang manakala air hujan mencurah masuk ke bahagian dapur rumah menyebabkan kami kerugian lebih RM3,000 apabila bumbung dan peralatan elektrik musnah.

"Bagaimanapun, kami bersyukur apabila kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada ahli keluarga," katanya selepas menerima kunjungan Sahabat Parlimen Bagan Serai yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam kejadian sama, sebuah lagi rumah di kampung itu turut dipukul ribut dan mengalami kerugian RM2,000 apabila sebahagian bumbung utama rumah terbabit diangkat dan diterbangkan ke bahagian belakang rumah.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan Serai, Firdaus Idris berkata, kejadian itu menyebabkan bumbung dua rumah di kampung berkenaan rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:05 PM