PENERIMA geran Program Wanita Jana Rezeki, Clairessa Pauline Peter Anthony. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
PENERIMA geran Program Wanita Jana Rezeki, Clairessa Pauline Peter Anthony. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Hilang pendapatan kerana tidak dapat menganjurkan kelas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi detik sukar kepada seorang jurulatih yoga dari Bagan Ajam, Butterworth.

Namun, kesempatan 'tempoh bercuti' itu diambil sepenuhnya dengan membuat jualan acar ikan tenggiri bagi menjana semula pendapatan.

Clairessa Pauline Peter Anthony, 52, berkata, acar berkenaan menggunakan resipi keluarga iaitu adunan rempah diproses sendiri.

Katanya, beberapa hari selepas menjual acar dan nasi bungkus bagi hidangan tengah hari, dia mendapat maklum balas baik daripada pelanggan.

"Ramai yang mahu membeli acar berkenaan dan daripada permintaan itu, saya cuba buat pilihan tiga rasa iaitu pedas, masam dan manis.

"Daripada keuntungan puluhan ringgit, kini pendapatan menjual acar sudah meningkat melebihi RM500 sebulan dan itu lebih baik daripada tidak berbuat apa.

"Impian saya mahu mencipta lebih banyak pilihan rasa acar selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada wanita khususnya suri rumah," katanya.

Sementara itu, pengusaha makanan dari Permatang Pasir, Roziah Hassan, 48, berkata permintaan terhadap popia keju pedas diusahakan sejak lapan tahun lalu terhenti semasa tempoh PKP.

"Namun selepas tempoh itu berakhir, permintaan bertambah terutama menerusi dalam talian yang mahu kami hantar ke rumah mereka.

"Saya usahakan perniagaan ini bersama keluarga dan kini daripada seorang suri rumah, saya sudah mempunyai pendapatan mencecah RM6,000 sebulan," katanya.

Clairessa Pauline dan Roziah antara 10 pengusaha makanan menerima geran RM1,000 menerusi Program Wanita Jana Rezeki di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, bagi wanita golongan B40 di Pulau Pinang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:29 PM