BIARPUN sudah lama menetap di negeri ini, lebih 100 anak Kelantan sepakat menganjurkan program Khacha Sughro di Batu Kikir di sini. FOTO Abnor Hamizam Manap
BIARPUN sudah lama menetap di negeri ini, lebih 100 anak Kelantan sepakat menganjurkan program Khacha Sughro di Batu Kikir di sini. FOTO Abnor Hamizam Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Biarpun sudah lama menetap di negeri ini, lebih 100 anak Kelantan sepakat menganjurkan program Khacha Sughro di Batu Kikir di sini

Penyelaras program Abdullah Omar berkata program itu dihadiri anak Kelantan yang merantau dan tinggal di Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Menurutnya, program dianjurkan hasil kesepakatan ahli kelab Gomo Fc yang mahu mengadakan program memasak bubur asyura versi Kelantan ini.

"Secara tradisi, mengacau bubur asyura menjadi kemestian setiap kali ketibaan bulan Muharram dan kami yang berada di perantauan tidak mahu melepaskan peluang ini.

"Disebabkan mahu mengekalkan keaslian rasa masakan, rempah ratus dibeli di Kelantan oleh ahli yang pulang ke sana baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang berasal dari Pasir Putih dan sudah 20 tahun menetap di Batu Kikir gembira kerana seramai 100 anak Kelantan menyertai gotong royong memasak bubur yang di adakan di Galaxy Futsal, di sini.

"Program memasak bubur bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6 petang dengan bubur turut diedarkan ke sekitar kawasan Batu Kikir sekaligus membolehkan menikmati bubur asyura Kelantan ini.

Sementara itu, Mohd Azizi Aziz, 36 dari Kuala Pilah berkata program itu mampu dapat memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim.

"Saya sudah menetap di Kuala Pilah hampir 10 tahun. Saya berharap tradisi memasak bubur ini diteruskan pada masa akan datang.

"Sebagai anak Kelantan yang berada di perantauan sudah pasti kenangan dan merindukan kampung halaman tidak dapat dielakkan, namun apabila bersama dalam majlis seperti ini ia sedikit sebanyak mengubat perasaan rindu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:33 PM