PENGARAH Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (kiri) melawat pameran sempena sambutan Hari Farmasi Dunia peringkat HRPZ II 2020, di lobi Kompleks Rawatan Harian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENGARAH Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin (kiri) melawat pameran sempena sambutan Hari Farmasi Dunia peringkat HRPZ II 2020, di lobi Kompleks Rawatan Harian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sejak diperkenalkan enam tahun lalu, 'Locker 4U' iaitu projek di bawah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mempunyai lebih 400 pelanggan yang terdiri daripada pesakit menghidap penyakit kronik.

Projek perintis pernah merangkul juara dalam Anugerah Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) peringkat kebangsaan pada 2014 itu dilengkapi empat komponen kunci pada satu-satu peti bagi penyimpanan empat pesakit.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, kunci peti disimpan pesakit sendiri dan mereka atau waris boleh mengambil ubat pada bila-bila masa termasuk hujung minggu.

"Kaedah ini sangat efektif dan kami menerima respon amat baik dalam kalangan pelanggan kerana mereka tidak perlu menunggu lama atau beratur untuk mendapatkan ubat, sebaliknya ubat itu sudah diletakkan dalam peti masing-masing.

"Setiap peti mempunyai empat kunci mewakili empat pesakit dan mempunyai tempoh pengambilan ubat berasingan bergantung kepada rawatan dan penggunaan ubat berkenaan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Farmasi Dunia peringkat HRPZ II 2020, di lobi Kompleks Rawatan Harian di sini, hari ini.

Selasawati berkata, perkhidmatan itu antara nilai tambahan disediakan di HRPZ II dan kini kaedah itu digunakan secara meluas ke beberapa hospital di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, HRPZ II menyediakan beberapa perkhidmatan lain antaranya Dx-Home iaitu penghantaran insulin dan ubat sejuk lain ke rumah pesakit, ubat melalui pos dan pusat pungutan ubat setempat (PPUS).

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan khidmat kad temu janji (KTJ) iaitu terus ke kaunter tanpa perlu mengambil nombor giliran, kaunter ubat pandu lalu dan ubat boleh tuntut esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:36 PM