SUSPEK kes penipuan pakej pelancongan yang ditahan polis di IPD Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SUSPEK kes penipuan pakej pelancongan yang ditahan polis di IPD Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 519 individu menjadi mangsa penipuan pakej penginapan hotel mewah didalangi suami isteri membabitkan kerugian berjumlah RM611,993.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pihaknya menerima 69 laporan polis berhubung kes berkenaan di seluruh Selangor.

"Laporan tertinggi diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dengan 30 laporan membabitkan 63 mangsa dengan jumlah kerugian sebanyak RM26,193.

"Bagaimanapun, jumlah kerugian tertinggi dicatatkan sebanyak RM261,269 menerusi tujuh laporan polis oleh tujuh mangsa di IPD Ampang Jaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, sebanyak 10 laporan polis membabitkan 194 mangsa diterima IPD Petaling Jaya dengan jumlah kerugian sebanyak RM232,110.

"IPD Kajang pula menerima empat laporan polis membabitkan 204 mangsa dengan kerugian sebanyak RM48,929 dan di daerah Gombak, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan 26 mangsa dengan jumlah kerugian mencecah RM15,430.

"Selain itu, sebanyak enam laporan oleh 20 mangsa diterima IPD Shah Alam dengan jumlah kerugian RM19,472, tiga laporan di IPD Subang Jaya dengan kerugian RM4,097 dan dua laporan di IPD Sepang dengan kerugian RM3,493," katanya.

Katanya, pasangan berusia 26 dan 27 tahun itu sudah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pelancongan murah oleh mana-mana pihak termasuk membuat semakan terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 9:19 PM