GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: CIMB Bandar Baru Permas Jaya menjalankan sanitasi sebagai langkah pencegahan dan pembersihan menyeluruh semalam.

Menerusi Facebook (FB) rasmi, CIMB Malaysia menjelaskan situasi itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, ia disebabkan seorang pekerja terbabit kes Covid-19 di Pejabat Bank Komersial CIMB, yang terletak di tingkat berbeza dari bangunan sama di Permas Jaya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, cawangan Bank Permas Jaya menjalani pembersihan dan pembersihan menyeluruh semalam.

"Tidak ada pekerja cawangan bank yang berhubungan dengan pekerja bank perdagangan itu.

"CIMB mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan kakitangan serta pelanggannya dengan memastikan semua langkah yang diperlukan diambil.

"Kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa cawangan bank CIMB Bandar Baru Permas Jaya kami dibuka seperti biasa," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, kes positif di Kulai membabitkan individu yang bekerja di cawangan bank itu.

"Sebagai langkah pencegahan, CIMB membuat prosedur sanitasi atas inisiatif sendiri," katanya.

Sebelum ini, beberapa gambar sanitasi di CIMB cawangan itu tular di media sosial dan menimbulkan kegusaran orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 10:14 PM