BOM lama yang ditemui di hadapan sebuah rumah di Permatang Berangan, Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
BOM lama yang ditemui di hadapan sebuah rumah di Permatang Berangan, Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Terkejut bukan kepalang seorang wanita apabila ibunya memaklumkan menemui objek menyerupai bom lama yang tertanam di halaman rumah sewa mereka di Permatang Berangan di sini, semalam.

Wanita berusia 30 tahun itu mendakwa ibunya melihat objek itu terdedah di atas tanah selepas hujan kira-kira 5 petang dan mengoreknya.

Mereka kemudian memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan di rumah itu mendapati objek berbentuk bulat dan tirus pada hujung itu mempunyai persamaan seperti bom mortar lama.

Katanya, ia berukuran 14 sentimeter (sm) panjang dengan kelebaran tujuh sentimeter.

"Unit Pemusnah Bom (UPB) yang tiba di lokasi pada 8.15 malam, mengesahkan bahawa objek itu adalah bom shell 20mm yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua.

"Sehubungan itu, bom berkenaan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan akan dimusnahkan, hari ini di lokasi selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, dua beranak itu menyewa rumah berkenaan sejak enam tahun lalu dan tidak pernah menemui sebarang objek sedemikian atau melakukan penambahbaikan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 11:46 AM