GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin Covid-19 menjelang awal 2021, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, data daripada beberapa ujian klinikal vaksin Covid-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisa pada hujung tahun ini.

Menurutnya, kementerian itu juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan implikasi undang-undang dan model perolehan bagi vaksin Covid-19.

"Kita juga sedang berbincang terus dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax).

"Saya telah meminta supaya satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf perjanjian hampir siap," katanya selepas melancarkan pengecas tanpa wayar nanotech (METT) yang pertama di Malaysia, hari ini.

Tambahnya, rundingan dengan pihak Covax bagi penyertaan Malaysia di dalam kemudahan tersebut bagi mendapatkan vaksin Covid-19 yang diperlukan, masih berlangsung.

"Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan pihak Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yang masih belum lagi wujud," jelasnya.

Antara syarikat yang telah memulakan ujian klinikal terakhir vaksin Covid-19 termasuk Moderna, Pfizer and BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 12:02 PM