HAJIJI Noor (kanan). FOTO Malai Rosmah Tuah
HAJIJI Noor (kanan). FOTO Malai Rosmah Tuah
BERNAMA

Kota Kinabalu: Datuk Hajiji Noor yang hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di sini hari ini, merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena politik Sabah sejak mula melibatkan diri 30 tahun lalu.

Sebenarnya tidak pernah terlintas di hati anak kelahiran Kampung Serusup, Tuaran itu untuk bergelar wakil rakyat dan ahli politik kerana lebih selesa bertugas sebagai pegawai kerajaan sahaja.

"Saya tidak pernah terfikir mahupun bercita-cita menjadi ahli politik. Cukuplah menjadi pegawai kerajaan sahaja. Tetapi ini sudah ketentuan Tuhan," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Antara jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Sabah yang pernah disandangnya adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, dan Pembantu Menteri dalam pelbagai kementerian seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan.

Beliau memberanikan diri untuk menjejakkan kaki ke kancah politik seawal usia 30-an dan aktif dalam isu politik Sabah melalui platform Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sehingga diangkat menjadi calon dan memenangi kerusi Sulaman dengan majoriti 281 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketujuh pada 1990.

Sejarah politik graduan dari University of New Hampshire, Amerika Syarikat itu kemudian dipahatkan bersama-sama UMNO pada 1993 dan memenangi kerusi yang sama selama tujuh penggal bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hajiji, 65, pernah memegang beberapa jawatan penting di dalam kedua-dua parti antaranya Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Pengerusi UMNO Sabah dan kini Ketua Badan Pimpinan Bersatu selain Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14 lalu, beliau memperoleh 12,966 undi mengalahkan dua pencabar lain iaitu Abdullah Sani Daud (Warisan) yang mendapat 5,192 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah Arifin Harith (467 undi).

Beliau yang menoktahkan cintanya kepada Datin Julia Salag adalah bapa kepada tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan serta 12 orang cucu itu, telah mengetuai PN buat pertama kalinya bertanding dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pada PRN ke-16 ini, karisma, kepimpinan dan keperibadian Hajiji yang sentiasa mesra rakyat selain komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu terus menambat hati penduduk DUN Sulaman apabila beliau memperolehi 5,919 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basri daripada Warisan yang mendapat 2,820 undi manakala calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Rekan Hussien (253 undi).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 12:36 PM