Foto hiasan
Foto hiasan
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Dua kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu, Perak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM22,000 pada 2013.

Bagaimanapun, Idris Mohamad, 61, dan Mohd Hamdi Raghali, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, Idris yang bertugas sebagai penghantar notis didakwa menerima suapan wang tunai RM22,000 daripada Chong Choi Nam, 63, sebagai upah bagi menyerahkan geran tanah lot di RTP Selarong, Pengkalan Hulu.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di Hotel Seri Baling Inn pada 7 malam, 4 Disember 2013.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Bagi pertuduhan bersama, Idris dan Mohd Hamdi yang bertugas sebagai pembantu tadbir didakwa menerima suapan wang tunai RM22,000 daripada individu sama bagi menyerahkan geran tanah lot di RTP Selarong, Pengkalan Hulu.

Mereka melakukan kesalahan itu di Restoran Abang Lee Nasi Ayam Payung Besar, Baling pada 4.25 petang, 5 Disember 2013.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Muhammad Farhan dalam rayuannya, meminta mahkamah menetapkan ikan jamin rendah ke atas Idris berikutan dia sudah bersara dan hanya menerima wang pencen bulanan RM1,000 bagi menyara keluarga.

Jelasnya, Mohd Hamdi pula masih bertugas sebagai kakitangan awam dan hanya menerima gaji bulanan kira-kira RM2,000 dan mempunyai lima tanggungan.

Murtazadi kemudiannya membenarkan Idris diikat jamin sebanyak RM20,000 dan Mohd Hamdi sebanyak RM10,000 selain kedua-duanya perlu menyerahkan dokumen perjalanan dan melapor diri setiap bulan ke Pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan 2 November depan bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 2:13 PM