TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020. FOTO Luqman Hakim Zubir
TAN Sri Muhyiddin Yassin (kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020. FOTO Luqman Hakim Zubir
Rafidah Mat Ruzki


Sepang: Kerajaan sentiasa komited dalam menyokong usaha boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim syarie dan profesionalisme pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.

Katanya, beliau percaya penambahbaikan secara berterusan akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya.

"Mahkamah Syariah adalah institusi kehakiman dan perundangan syariah mendokong syiar Islam yang akan terus dipertahankan serta diperkasakan dari semasa ke semasa.

"Di peringkat serantau, saya berharap agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu forum berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi kehakiman syariah, sekali gus boleh dikongsi dengan negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

"Melalui forum ini, perbincangan ilmiah mengenai fungsi Maqasid Syariah di negara serantau dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut disertai secara dalam talian oleh Ketua Hakim Syar'ie Negara Brunei Darussalam Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar; Presiden Kanan (Mahkamah Syariah) Singapura, Alfian Yasrif Kuchit, dan Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia, Dr Drs Amran Suadi.

Muhyiddin berkata, pada masa sama beliau menyedari tugas dan tanggungjawab Hakim Syarie serta Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pegawai mahkamah syariah itu hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti.

"Insya-Allah, setiap tugas dan amanah dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati Allah SWT," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, seperti institusi lain, pentadbiran mahkamah syariah antara yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 2:44 PM