LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Suami isteri yang didakwa memperdaya orang ramai dengan tawaran pakej penginapan hotel mewah sehingga mengakibatkan kerugian RM611,993 disambung reman sehari sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, tempoh reman suspek berusia 27 tahun dan isterinya, 26, tamat hari ini.

"Bagaimanapun, pihak polis mendapat kebenaran mahkamah untuk menyambung reman mereka untuk tempoh sehari lagi bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan kemudian akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan pasangan suami isteri itu ditahan di sebuah inap desa di Ampang pada Khamis lalu bagi membantu siasatan kes terbabit.

Seramai 519 individu di Selangor dikesan menjadi mangsa penipuan pakej penginapan hotel mewah didalangi pasangan itu membabitkan kerugian berjumlah RM611,993.

Muka depan Harian Metro kelmarin melaporkan suspek didakwa mengambil kesempatan menawarkan promosi pakej penginapan hotel mewah kononnya bagi menghargai petugas barisan hadapan Covid-19.

Percutian hotel mewah berkenaan ditawarkan sejak Jun lalu dan paling ramai menjadi mangsa adalah semasa pakej sempena cuti Hari Kebangsaan, 31 Ogos lalu.

Berita berkaitan

Suami isteri tipu promosi pakej penginapan ditahan [METROTV]

519 mangsa diperdaya pakej penginapan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 2:45 PM