SIDANG media Datuk Hajiji Noor bersama dengan tiga Timbalan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. FOTO Azrul Affandi Sobry
SIDANG media Datuk Hajiji Noor bersama dengan tiga Timbalan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. FOTO Azrul Affandi Sobry
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pertukaran portfolio antara Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Datuk Masidi Manjun bertujuan membantu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik Covid-19.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 memegang jawatan Menteri Kerja Raya, manakala Masidi memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Ketika mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pagi tadi, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, diumum memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, manakala Masidi, Menteri Kerja Raya.

Pertukaran itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada sidang media pertamanya selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri, di Tingkat 32, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Hajiji turut mengumumkan satu lagi portfolio baharu untuk Masidi iaitu Menteri Kewangan 2.

Katanya, beliau memerlukan khidmat Masidi untuk membantunya dalam soal kewangan bagi memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik Covid-19.

Hajiji berkata, tidak timbul masalah mengenai pertukaran portfolio itu sebaliknya beliau mahu Masidi membantunya kerana berpengalaman dalam ekonomi dan kewangan selain ia juga dipersetujui oleh semua.

Selain pertukaran portfolio, Hajiji turut memaklumkan lima lagi menteri akan dilantik bagi melengkapkan senarai Kabinet negeri dalam masa terdekat.

"Pelantikan menteri lain, ada lima orang lagi akan mengangkat sumpah tidak lama lagi serentak dengan pelantikan pembantu menteri," katanya

Dalam hal lain, beliau menafikan menghadapi masalah dengan kepemimpinan UMNO seperti didakwa pihak tertentu.

Sidang media itu turut disertai dua lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 3:18 PM