Wakil NGO Tim Bilal Muda, Khairul Nizam Khairuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda dan barangan makanan daripada MyFundAction untuk kegunaan Azman Abd Kadir, 58, yang terlantar akibat sakit buah pinggang dan jantung di rumahnya di Taman Rasah Jaya, Rasah. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Wakil NGO Tim Bilal Muda, Khairul Nizam Khairuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda dan barangan makanan daripada MyFundAction untuk kegunaan Azman Abd Kadir, 58, yang terlantar akibat sakit buah pinggang dan jantung di rumahnya di Taman Rasah Jaya, Rasah. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Rasah: "Terima kasih Harian Metro kerana semakin ramai bersimpati dengan nasib keluarga saya.

"Suami saya, Azman Abd Kadir, 58, yang sakit buah pinggang terpaksa dijaga anak tunggal kami, Nur Kasih Azman, 11, yang sepatutnya bersekolah, namun keadaan memaksa dia berkorban," kata Siti Nor Esah Mat Ali, 36, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, sejak kisah kesusahan mereka disiarkan dalam portal berita Harian Metro kelmarin, banyak individu menghubunginya termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Paling saya terharu, suami saya menerima sumbangan kerusi roda daripada NGO, Bilal Muda yang datang bersama MyFundAction yang menyumbangkan barangan makanan.

"Malah, mereka turut menawarkan bantuan kelas tambahan untuk Nur Kasih yang tidak dapat ke sekolah kerana perlu menjaga ayahnya daripada NGO Rakan Siswa Yadim (RASISYA)," katanya yang bekerja secara kontrak di Perpustakaan Awam di Seremban 2.

Kelmarin, portal berita Harian Metro melaporkan, Nur Kasih terpaksa bercuti sejak tiga bulan lalu kerana perlu menjaga ayahnya yang terlantar sakit buah pinggang dan jantung di rumahnya di Taman Rasah Jaya, kerana ibunya perlu bekerja mencari nafkah.

Menurut Exco Khidmat Bakti Yadim, Mohamad Nuraiman Afiq Lizam, mereka akan datang ke rumah untuk mengajar beberapa subjek teras bagi membantu Nur Kasih kerana lama tidak ke sekolah.

"Tim RASISWA akan datang dan mengajar subjek teras seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan Matematik sebagai salah satu sumbangan kami kepada anak asnaf.

"Kami berhajat membantu selepas kami terbaca kisah mereka dalam Harian Metro dan terharu kerana terpaksa berkorban masa belajar demi perlu menjaga bapa sakit.

"Bagi saya Harian Metro perlu mengekalkan konsep berita kisah rakyat kerana mereka boleh terus dibantu NGO dan orang ramai sementara menunggu bantuan pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal," katanya.

Sementara itu, wakil Bilal Muda, Khairul Nizam Khairuddin berkata, selain menyampaikan kerusi roda, mereka turut mengedarkan barangan dapur sumbangan MyFundAction.

Berita berkaitan

'Demi ayah...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 5:35 PM