GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang lelaki tidak layak digelar bapa selepas tergamak merogol dan mencabul dua anak perempuan tirinya di kediaman mereka di Cheras, di sini, sejak bulan lalu.

Bagaimanapun perbuatan jijik pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu berakhir apabila remaja berusia 13 dan 16 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa berusia 13 tahun dirogol bapa tiri pada 16 September lalu, kira-kira jam 8.30 pagi ketika berada di rumah.

Menurutnya, suspek mengarahkan mangsa masuk ke dalam bilik sebelum memperkosanya dan mengugut akan dipukul jika tidak mengikut kemahuannya.

"Selepas kejadian, mangsa tidak berani menceritakan apa yang berlaku kepada sesiapa dan keluar dari rumah itu. Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya di Shah Alam.

"Perkara itu hanya terbongkar selepas dia menceritakan kepada ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan polis," katanya kepada Harian Metro.

Nik Ros Azhan berkata, kakak mangsa turut dicabul suspek bulan lalu ketika berada di dalam bilik.

"Dia turut diugut akan dipukul jika tidak mengikut arahan suspek.

"Mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis Jumaat lalu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan suspek dan dia direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta 792 Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh di mahkamah Khamis ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 5:35 PM