Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti empat kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bomba di Sabah, Kluster Jalan Utara di Sabah, Kluster Benteng PK di Selangor dan Kluster Bakawali di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster Jalan Bomba ialah kes ke-11,110 iaitu lelaki warga negara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 20 September lalu.

"Kes bergejala demam dan batuk dan didapati positif Covid-19 pada 28 September lalu, kes dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif Covid-19 semalam.

"Pengenalpastian kontak rapat dan saringan masih lagi diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Sandakan," katanya pada sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Jalan Utara dikenal pasti hasil saringan petugas kesihatan di sebuah institut latihan di Sandakan, Sabah.

"Dua petugas kesihatan dikesan positif Covid-19 pada 28 September lalu. Mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

"Pengenalpastian kontak rapat dan saringan masih lagi diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Sandakan," katanya.

Menurutnya, Kluster Benteng PK pula dikenal pasti hasil saringan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Klang, Selangor.

"Saringan berkenaan dijalankan dari 16 hingga 25 September lalu yang mana lapan Pati dikesan positif Covid-19. Hasil saringan kontak rapat mendapati satu lagi kes positif bagi kluster ini pada 28 September yang membabitkan anggota polis.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, sehingga kini seramai 148 individu disaring, sembilan kes positif Covid-19 dan 139 dikesan negatif.

"Bagi Kluster Bakawali di Johor, kes indeks bagi kluster ini ialah kes ke-10,911 dan kes ke-10,912 adalah pasangan suami isteri warga negara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 13 September 2020 sehingga 18 September lalu.

"Pada 24 September, kedua-dua kes bergejala demam, selesema dan batuk yang kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru," katanya.

Katanya, mereka didapati positif Covid-19 pada 26 September dan dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, Johor.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga 29 September seramai 25 individu disaring.

"Empat kes dikesan positif Covid-19, 13 individu negatif; dan lapan individu masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:12 PM