POLIS diraja Malaysia
POLIS diraja Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Senior Asisten Komisioner Koordinasi Cawangan Khas, Penyelidikan dan Keurusetiaan, Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Abu Samah Mohd Noor antara 11 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 2 November depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini berkata, Abu Samah akan dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Kuala Lumpur.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Kepolisan Am, Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, dan tempat beliau akan diisi oleh Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff pula akan bertukar ke Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor, dan tempatnya diambil alih oleh Penolong Pengarah (Pematuhan), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha.

Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor Asisten Komisioner Mohammad Abd Hamid akan bertukar ke jawatan Penolong Pengarah (Pematuhan), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman.

Pertukaran lain turut menyaksikan perubahan antara Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Kelantan Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar yang bertukar ke jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kelantan bagi menggantikan Asisten Komisioner Mit Emong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:34 PM