KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perlu ada perbincangan lebih awal di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan timbul kemelut seperti isu pelantikan Ketua Menteri Sabah, baru-baru ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas ini, kedua-dua pihak perlu mencari titik pertemuan bagi perbincangan seperti isu pengagihan kerusi termasuk jawatan Menteri Besar dan ia tidak sewajarnya diputuskan pada saat-saat akhir.

"Kalau kita buat awal dan ada semangat hormat menghormati antara satu sama lain, saya rasa perkara ini dapat dielakkan tetapi kalau kita buat kerja saat-saat terakhir dan kita pun buat tanpa pengetahuan kawan, itu boleh menimbulkan masalah.

"Tapi saya harap tidak ada pihak luar yang melagakan kita dan kita dapat selesaikan masalah antara Umno dan PN," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (Wins), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan, dekat sini, petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut berpandangan, bahawa isu siapakah yang akan menduduki jawatan Menteri Besar juga mesti diputuskan lebih awal di antara PN dan BN bagi mengelakkan sebarang salah faham.

"Jika melihat kes di Sabah disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu diadakan secara mengejut, tidak ada cukup masa untuk kita berunding tetapi untuk PRU-15 kita ada masa lagi, jadi masa inilah kita buat keputusan.

"Kita bincang elok-elok, okay negeri ini, parti ini akan jadi Menteri Besar, sekiranya prestasi mereka begitu, ya ia bergantung kepada prestasi juga. Jadi saya rasa, Sabah ini ada hikmahnya juga sebab ia menunjukkan bahawa kalau kita tidak buat perbincangan dengan elok, lebih awal, ia boleh menimbulkan macam-macam salah faham nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:45 PM