UMW Holdings menyerahkan sumbangan barangan makanan ruji di Rumah Kanak-Kanak Terencat Akal, Bukit Baru, Melaka. FOTO IHSAN UMW HOLDINGS
UMW Holdings menyerahkan sumbangan barangan makanan ruji di Rumah Kanak-Kanak Terencat Akal, Bukit Baru, Melaka. FOTO IHSAN UMW HOLDINGS
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Usaha wajar dipuji apabila sebanyak 63 rumah kebajikan diberi bantuan khas oleh UMW Holdings Bhd (UMW Holdings) khusus kepada golongan kurang berkemampuan dan terkesan akibat wabak Covid-19 di seluruh negara.

Malah golongan ini yang tidak berkemampuan membeli pelitup muka turut diberikan 28,000 pelitup muka guna semula.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Azmin Che Yusoff berkata, sumbangan menerusi kempen Smile On, Malaysia yang dilancarkan sejak 28 Ogos hingga 16 September lalu itu bertujuan menyokong rakyat Malaysia untuk terus bertahan dalam melalui masa-masa sukar dan mencabar ketika ini.

"Susulan penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, pihak kami menyedari bahawa golongan miskin menghadapi masalah kewangan untuk mematuhi peraturan berkenaan.

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, pihak kami melakukan segala yang terdaya menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Azmin berkata, menerusi kempen itu juga, 7,000 pelitup muka guna semula dapat diagihkan kepada pekerja-pekerja kumpulannya.

"Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd adalah pengedar pelitup muka ini, di mana ia memenuhi kriteria Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu memberikan perlindungan maksimum.

"Pelitup muka guna semula yang diagihkan ini juga dikeluarkan berdasarkan garis panduan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memastikan keberkesanannya," katanya.

Menurutnya, selain daripada inisiatif pengagihan pelitup muka, pihaknya juga mengumpul dan mengagihkan barangan makanan berasaskan ruji bagi membantu golongan yang terkesan.

"Hasil pengumpulan barangan makanan di ibu pejabat dan cawangan seluruh negara adalah amat memberangsangkan.

"Ia membolehkan pihak kami menambah bentuk sumbangan dengan menyalurkan RM1,000 kepada 63 rumah kebajikan terpilih terdiri dari rumah orang tua, rumah anak yatim dan pusat orang kurang upaya (OKU) seluruh Malaysia," katanya.

Tambahnya, kempen ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

"Orang awam juga dialu-alukan menyokong kempen ini melalui Instagram dan Facebook dengan menggunakan filter pelitup muka kempen 'UMW's Smile On, Malaysia' di profil masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 7:16 PM