GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Peningkatan populasi golongan belia di Sabah dan Sarawak mampu memberikan sumbangan besar ke arah pembinaan negara jika dasar dan inisiatif tepat diwujudkan dalam Bajet 2021 akan datang.

Presiden dan pengasas Pertubuhan Transformasi Dayak (Trada), Joseph Janting berkata, mengikut Jabatan Perangkaan Negara, terdapat 14.6 juta rakyat Malaysia berusia antara 15 hingga 39 tahun, iaitu 45.4 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini, dengan sebahagian penduduk di Sabah dan Sarawak berusia di bawah 40 tahun.

Namun, katanya, belia di Sabah dan Sarawak berdepan cabaran unik termasuk akses kepada teknologi moden dan sambungan internet, pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Justeru, perlu ada dasar dan inisiatif tepat. Pendirian kami sebagai kumpulan advokasi belia dan komuniti ini susulan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bahawa kerajaan mengutamakan golongan belia sebagai satu daripada kumpulan sasar di bawah Bajet 2021.

"Trada berbesar hati dengan komitmen dinyatakan oleh Menteri Kewangan yang mahu memberi tumpuan kepada golongan belia di dalam bajet akan datang.

"Hakikatnya, ramai meninggalkan kampung halaman untuk mencari pekerjaan lebih baik di Semenanjung Malaysia, atau ke negara lain di rantau ini, berjauhan dengan keluarga dan masyarakat," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dirinya juga antara belia yang meninggalkan kampung halaman di Sarawak untuk mencari kehidupan lebih baik di Kuala Lumpur untuk diri sendiri dan keluarga.

Menurutnya, Trada percaya belia di Sabah dan Sarawak mempunyai potensi untuk memberi sumbangan lebih besar kepada ekonomi negara tanpa perlu meninggalkan kampung halaman.

Katanya, pihaknya mencadangkan tiga perkara utama dalam Bajet 2021 untuk meningkatkan golongan belia terutama di Sabah dan Sarawak iaitu penubuhan dana pembelajaran berterusan, platform pembiayaan mikro dan dasar anti pasaran gelap.

"Menubuhkan dana pembelajaran berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan melatih semula belia Sabah dan Sarawak adalah selaras memenuhi keperluan pekerjaan semasa di dalam industri pertumbuhan tinggi dan berpendapatan tinggi di Malaysia Timur seperti industri minyak dan gas selain pertanian moden.

"Mewujudkan platform pembiayaan mikro yang direka khusus untuk usahawan belia Sabah dan Sarawak. Ini untuk menyuburkan cetusan idea perniagaan pintar yang mengguna pakai teknologi, pengamatan tempatan dan penyelesaian berasaskan masyarakat.

"Dasar anti pasaran gelap pula seperti menangani isu harga dan cukai selain meningkatkan usaha penguat kuasaan untuk membanteras pasaran gelap yang menjejaskan kemajuan sosio-ekonomi. Sabah dan Sarawak paling tinggi merekodkan kes penyeludupan rokok dan ini mengakibatkan masalah ketara dan tidak ketara kepada golongan belia," katanya.

Katanya, cadangan Trada bukan sahaja disasarkan sebagai anjakan peluang untuk kejayaan belia di Sabah dan Sarawak, tetapi juga disasarkan dapat menghapuskan masalah lama yang berakar umbi dan menjejaskan rakyat serta ekonomi Malaysia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:22 PM