GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengadakan penganugerahan diploma serta ijazah secara janji temu bermula 7 November hingga 9 Januari 2021.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, penganugerahan itu dilaksanakan sebagai langkah alternatif demi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) graduan, ibu bapa dan seluruh warga terbabit.

"Susulan pandemik Cvid-19 yang masih berleluasa dan peningkatan kes tidak menentu, saya dan pengurusan tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana normal baharu.

"Memandangkan jumlah graduan UiTM bagi satu sesi konvokesyen kira-kira 25,000 orang, Istiadat Konvokesyen UiTM yang lazimnya dilaksanakan sebanyak dua kali setahun tidak dapat dilakukan pada kali ini.

"Justeru, janji temu diperkenalkan ini sudah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

Beliau berkata, menerusi penganugerahan itu, graduan berpeluang untuk memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen secara konvensional.

Menurutnya, sesi penganugerahan akan dijalankan di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan berdasarkan pemilihan kampus terdekat dengan graduan.

"Majlis penganugerahan akan dilangsungkan setiap hari termasuk hari minggu serta cuti umum bermula 8 pagi hingga 5 petang dan membabitkan 22,834 graduan.

"Janji temu perlu dibuat secara dalam talian menerusi https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ dan graduan boleh memilih lokasi majlis berdekatan," katanya.

Terdahulu, Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 yang dijadualkan bermula pada 24 Mac lalu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 9:07 PM