Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter di belakang kotak penggera keselamatan helah terbaru digunakan sindiket perlombongan mata wang bitcoin di daerah ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, dinding simen ditebuk dalam kotak terbabit bagi mengelak perbuatan itu dikesan pihak berkuasa termasuk pemilik premis.

Menurutnya, sebelum ini sindiket perlombongan mata wang bitcoin di beberapa daerah di negeri ini bertindak menebuk dinding dan lantai premis bagi memasukkan kabel elektrik yang disambung secara haram tanpa meter.

Katanya, helah lain yang turut digunakan sindiket adalah dengan menutup sambungan kabel dan lubang yang ditebuk pada dinding menggunakan banting.

"TNB memandang serius sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter, kegiatan yang aktif di beberapa daerah di negeri ini menyebabkan kerugian besar kepada TNB setiap tahun.

"Tahun lalu TNB Pahang kerugian RM3.2 juta disebabkan tindakan sindiket membuat sambungan elektrik secara haram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan mengesan 22 premis sindiket perlombongan mata wang bitcoin di lima lokasi di daerah ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Rozianis berkata, pemeriksaan menemui premis bitcoin di bangunan perniagaan terletak di Fajar Jaya, Gambang, Jaya Gading, Kemunting dan Balok.

Katanya, kebanyakan premis itu sebelum ini pernah diserbu namun mereka beroperasi semula, hanya selepas beberapa jam pemotongan bekalan elektrik dilakukan.

Menurutnya, kegiatan perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam.

"Bagi mengelak membayar bil yang tinggi mendorong pihak terbabit mencuri bekalan elektrik dengan cara membuat sambungan haram tanpa meter," katanya.

Gambar menunjukkan papan putih tertera nama Hajiji dan isteri dipercayai di salah sebuah hospital yang tular di media sosial, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Gambar menunjukkan papan putih tertera nama Hajiji dan isteri dipercayai di salah sebuah hospital yang tular di media sosial, hari ini. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 11:12 AM