GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (R0) bagi Selangor menunjukan peningkatan iaitu 1.95.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan nilai R0 itu disebabkan oleh kenaikan mendadak jumlah kes harian positif Covid-19 iaitu 10 hingga 15 kes berbanding sebelum ini iaitu dua hingga tiga kes.

"Ia mengambil kira magnitud perubahan dan menunjukkan peningkatan risiko wabak yang lebih besar sekiranya langkah-langkah pencegahan kesihatan awam tidak diambil," katanya dalam Facebook di sini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, nilai R0 bagi Sabah pula kembali stabil iaitu 1.26 yang dicatatkan semalam namun ia masih dalam tahap yang membimbangkan kerana membabitkan bilangan kes harian yang tinggi.

Katanya, nilai R0 itu boleh meningkat kembali di Sabah sekiranya masyarakat tidak mengambil langkah intervensi kesihatan awam yang lebih optima. Jumlah bagi Sabah dan Selangor melebihi nilai R0 yang sepatutnya iaitu dalam lingkungan 1.0

"Di Kedah, nilai R0 turut menurun sejajar dengan penurunan kes di negeri berkenaan iaitu hanya dua kes dalam tempoh empat hari yang lalu, nilai R0 terkini bagi Kedah ialah dibawah angka satu iaitu hanya 0.65.

"Ia secara tidak langsung menggambarkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkesan. Adalah penting untuk masyarakat mematuhi SOP serta langkah-langkah intervensi yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 1:44 PM