Pasangan yang dicekup berkhalwat di rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai disoal siasat anggota PADK. FOTO ihsan PADK
Pasangan yang dicekup berkhalwat di rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai disoal siasat anggota PADK. FOTO ihsan PADK
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan duda berusia 51 tahun di sebuah rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai, hari ini.

Dalam pemeriksaan jam 1.54 pagi tadi, wanita berusia 36 tahun itu ditemui menyorok di belakang pintu rumah milik lelaki berkenaan.

Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), Azwan Azman berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat di rumah berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.

Katanya, rumah itu dimiliki lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu van kilang manakala wanita itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu tinggal bersama anak lelakinya berusia belasan tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam. Manakala, wanita terbabit yang juga masih isteri orang itu pula tidak mempunyai anak," katanya.

Azwan berkata, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri menimbulkan syak mereka melakukan maksiat di rumah berkenaan.

Berikutan itu katanya, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk dibuat laporan tangkapan.

"Pasangan itu akan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014 kerana disyaki berkhalwat.

"Sabit kesalahan mereka boleh didenda denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 1:54 PM