GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Selangor mencatatkan jumlah kedatangan pelawat paling tinggi iaitu 33.6 juta pelawat pada 2019 dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM15.5 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu adalah berdasarkan Survei Pelancongan Domestik 2019 mengikut negeri.

Katanya selain Selangor, empat negeri lain yang mencatatkan jumlah pelawat yang tinggi ialah Kuala Lumpur 22.6 juta pelawat, Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

"Bagi perbelanjaan pelawat domestik, Kuala Lumpur mencatatkan RM12.1 bilion, diikuti Sarawak (RM8.7 bilion), Sabah (RM8.1 bilion) dan Perak (RM7.8 bilion).

"Kesemua negeri yang dinyatakan itu menyumbang sebanyak 50.6 peratus daripada jumlah terimaan pelancongan domestik Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, daripada segi trend perjalanan bermalam, tujuan perjalanan yang tertinggi bagi semua negeri ialah untuk melawat saudara-mara dan rakan.

Sementara itu, Melaka merekodkan peratus sumbangan tertinggi bagi perjalanan untuk tujuan percutian iaitu mewakili 42.8 peratus jumlah perjalanan, diikuti oleh Pulau Pinang 28.2 peratus, Pahang 26.6 peratus dan Sabah 21.5 peratus.

"Berdasarkan pilihan jenis penginapan, majoriti pelancong memilih 'penginapan tidak berbayar' (rumah saudara-mara dan rakan) kecuali di Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, daripada segi pengangkutan di setiap negeri kecuali Labuan, pengangkutan darat menjadi pilihan utama pelawat untuk ke destinasi masing-masing.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai profil sosial dan demografik pelawat domestik, semua negeri merekodkan ketibaan pelawat domestik paling tinggi bagi kategori umur 25 hingga 39 tahun.

"Bagi kumpulan etnik pula, etnik Bumiputera mendominasi bilangan ketibaan dalam kebanyakan negeri kecuali Pulau Pinang yang didominasi oleh pelawat dari kumpulan etnik Cina.

"Dari segi kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan mencatatkan peratus sumbangan tertinggi bagi pelawat domestik yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,001 hingga RM3,000 sebulan.

"Melaka adalah negeri paling ramai dikunjungi pelawat domestik dalam kalangan isi rumah yang berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan. Sementara itu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan peratus pelawat domestik paling tinggi daripada isi rumah yang

berpendapatan RM5,001 hingga RM10,000 sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 2:00 PM