Orang awam yang mengunjungi pusat membeli belah di Kuala Lumpur didapati mematuhi SOP. FOTO SHAHMI IMRAN
Orang awam yang mengunjungi pusat membeli belah di Kuala Lumpur didapati mematuhi SOP. FOTO SHAHMI IMRAN
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seramai 95 daripada 98 individu yang ditahan polis, semalam, dikompaun atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) manakala tiga lagi direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia itu melakukan 54,764 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard PKPP.

"Dalam operasi itu, kesalahan yang dikenal pasti adalah 34 aktiviti dalam pub dan kelab malam, penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (8)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan pula berjaya menahan 34 pendatang asing tanpa izin dan empat penyeludup, semalam.

"Turut dirampas ialah enam kenderaan darat. Semalam sebanyak 84 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 37,452 rakyat Malaysia dari 33 negara direkodkan pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam.

"Mereka ditempatkan di 67 hotel dan 11 premis lain termasuk institut latihan awam serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,144 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu lagi dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Selain itu, 29,202 individu sudah keluar hospital dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:21 PM