POSTER cari jodoh Nooraziro Abdullah yang tular. FOTO NSTP
POSTER cari jodoh Nooraziro Abdullah yang tular. FOTO NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Semakin hampir dengan hari perkahwinan, semakin berasa berdebar, tetapi pada masa sama tidak sabar untuk naik pelamin dan jadi suami," kata Nooraziro Abdullah.

Nooraziro, 35, sebelum ini tular apabila menggantung poster untuk mencari jodoh sebelum berkenalan dengan kekasih pilihan hatinya dipanggil Suhaibah atau Ibah, 33, dari Kuantan dan merancang untuk berkahwin pada 10 Oktober ini.

Katanya, dia berasa sangat teruja untuk menjadi suami dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Semua persiapan perkahwinan sudah dibuat sejak lima bulan lalu, malah kad jemputan perkahwinan untuk majlis kedua-dua pihak diagihkan sejak dua minggu lalu.

Kad jemputan majlis perkahwinan Nooraziro Abdullah, 35, dan Ibah mula diedarkan. FOTO IHSAN NOORAZIRO
Kad jemputan majlis perkahwinan Nooraziro Abdullah, 35, dan Ibah mula diedarkan. FOTO IHSAN NOORAZIRO

"Saya bersedia sepenuhnya untuk menjawab akad nikah maklumlah lebih sebulan menjalani latihan.

"Bagaimanapun jauh di sudut hati berasa bimbang jika apa dirancang tidak menjadi kenyataan dan mampu berdoa supaya semuanya berjalan lancar," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia mengalami pelbagai kesulitan dan cabaran sepanjang proses mencari pasangan sebelum ini.

Katanya, ramai wanita yang cuba dikenali, berkawan dan bukan senang melalui setiap proses itu.

"Akhirnya saya menemui Ibah dan mempunyai keserasian seterusnya bersetuju untuk berkahwin.

"Saya selalu berdoa supaya jodoh kami kuat dan disatukan sebagai suami isteri pada tarikh ditetapkan itu.

"Saya menjemput 250 tetamu pada majlis menyambut menantu di pihak saya di Kampung Gong Nangka, Marang pada 17 Oktober nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 2:40 PM