Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Kira-kira 50 peratus daripada 19.6 tan rampasan ketum di daerah ini didapati datang dari pokok ketum yang ditanam di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Perlis.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Wilayah Utara Superintendan Abdul Razak Md Din berkata, rampasan itu dilakukan pihaknya sepanjang bulan lalu membabitkan nilai RM716,980.

Katanya, rampasan selebihnya membabitkan daun ketum yang dikesan ditanam di beberapa kawasan seperti Naka dan Pendang, Kedah.

"Antara kawasan Felda yang dikesan menjadi kawasan penanaman pokok ketum adalah di Mata Ayer, Rimba Emas dan Chuping.

"Risikan turut mendapati sebahagian besar daun ketum yang ditanam di kawasan berkenaan dibawa ke Kuala Perlis melalui laluan darat menggunakan kenderaan kecil seperti kereta sebelum diseludup ke Thailand melalui sempadan perairan.

"Pada bulan ini, lima tan daun ketum berjaya dihalang daripada diseludup ke Satun, Thailand melalui perairan Kuala Perlis manakala selebihnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, penyeludup ketum bertindak licik apabila mula menyasarkan Kampung Wai, Kampung Pulau Ketam dan Batu Puteh di Kuala Perlis sebagai kawasan transit penyeludupan.

"Dua kampung ini terletak berdekatan dengan Satun dari arah pantai dan jaraknya sekitar 1.3 batu nautika, ini memudahkan mereka menyeludup menggunakan sampan sahaja.

"Taktik penyeludupan melalui laut juga menunjukkan peningkatan sehingga pihak kami mencadangkan agar diletakkan bot Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) yang lebih kecil dan mudah ketika menyeberangi perairan cetek," katanya.

Beliau berkata, penyeludup didapati menyasarkan waktu senja, awal pagi dan cuaca hujan lebat bagi menyeludup ketum ke sempadan Malaysia-Thailand kerana menyangka kawalan dan rondaan ketika itu longgar.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, dalam Op Benteng sepanjang bulan lalu, pihaknya berjaya menahan 10 pendatang asing tanpa izin berusia antara 30 hingga 45 tahun dari Bangladesh, Myanmar dan Thailand.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am PGA Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din menunjukkan sebahagian daripada rampasan daun ketum pihaknya bagi bulan September di Pb11, Sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am PGA Batalion 18 Wilayah Utara, Superintendan Abdul Razak Md Din menunjukkan sebahagian daripada rampasan daun ketum pihaknya bagi bulan September di Pb11, Sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 2:46 PM