GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan seorang peguam untuk membatalkan saman difailkan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda), anak syarikat terhadapnya dan 20 yang lain untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan serta merta semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak.

Hakim Wong Chee Lin membenarkan permohonan Yeap Kong Yeow selaku defendan ke-13 selepas mendengar hujahan daripada peguam Wong Hok Mun yang mewakili defendan dan peguam Kumar Kanagasingam yang bertindak bagi pihak Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

"Mahkamah membenarkan permohonan pembatalan saman oleh defendan dengan kos RM5,000," kata hakim.

Kumar ketika ditemui pemberita berkata, Yeap memfailkan permohonan itu atas alasan tidak lagi menjadi rakan kongsi dalam syarikat guaman Yeap Yong & Amy sebelum saman itu difailkan.

Katanya, mahkamah menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Bagaimanapun, nama 20 defendan lain masih kekal dalam saman yang difailkan Felda dan FIC selaku plaintif itu.

Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Besar Felda Datuk FaizoullAhmad; bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil; Pengarah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) Abd Rahman Soltan dan Noraini Soltan; SPSB dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC); bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada; bekas Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali; bekas Pengarah Tanah Felda Shahrizal Mohd Saleh dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutannya, Felda memohon perintah untuk mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak daripada agensi itu kepada SPSB dan SPKLVC dalam tempoh 30 hari dari tempoh perintah itu.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Surat Tawaran FIC, Surat Tawaran Felda, Perjanjian Pembangunan, Surat Kuasa Wakil, Perjanjian Sewa, empat Perjanjian Sewa Beli dan Memorandum Persefahaman tidak boleh dikuatkuasakan, batal atau tidak sah.

Dalam saman itu, Felda dan FIC menuntut ganti rugi dan pampasan terhadap kesemua defendan untuk pelanggaran kewajipan fidusiari yang ditanggung terhadap Felda iaitu ganti rugi berjumlah RM1.062 bilion bagi nilai komersial tanah Semarak yang boleh diterima secara langsung daripada jualan tanah berkenaan.

Turut dimohon, antaranya pampasan dalam ekuiti untuk kerugian peluang komersial berjumlah RM562juta sekiranya Felda menerima 'MGR' berjumlah RM500 juta daripada Perjanjian Pembangunan itu.

Ia juga menuntut pampasan dalam ekuiti atas segala kos dan perbelanjaan yang akan ditanggung untuk merobohkan struktur dibina oleh SPSB dan untuk mengembalikan semula tanah kepada keadaan asal.

Kedua-dua plaintif turut menuntut ganti rugi RM1.5 bilion bagi keseluruhan liabiliti sewa di bawah Perjanjian Sewa jika ia tidak diketepikan, ganti rugi RM2.062 bilion selain menuntut ganti rugi bagi nilai komersial 17 lot tanah yang kononnya dijual di bawah empat Perjanjian Sewa Beli itu serta kos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:33 PM