Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Ronda di kawasan taman perumahan sekitar Bertam, di sini dengan menunggang motosikal untuk mencari sasaran sebelum terus melarikan basikal berjenama jika ada peluang.

Itu modus operandi dilakukan tiga sekawan apabila mereka merancang mencuri basikal berjenama untuk membeli bekalan dadah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek berusia 19,22 dan 25 tahun itu ditahan di lokasi berasingan melalui Op Lejang pada 6.30 petang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek yang tiada rekod jenayah lampau itu baharu berjinak-jinak mencuri basikal berjenama sejak Julai lalu.

"Mereka akan menunggang dua motosikal untuk meronda di sekeliling taman sebelum seorang akan turun dan melarikan basikal berjenama yang ditemui.

"Kebanyakan basikal dilarikan berada di kawasan laman rumah dan tidak berkunci yang memudahkan suspek melakukan kegiatan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.

Beliau berkata, ia kejayaan kedua polis daerah itu menumpaskan kegiatan curi basikal berjenama selepas yang pertama pada bulan lalu.

Menurutnya, susulan penahanan tiga suspek berkenaan, polis merampas tujuh basikal berjenama bernilai RM12,000.

"Berdasarkan siasatan, suspek menjual basikal itu di kedai dengan harga antara RM500 hingga RM700 sebuah.

"Kemudian pihak kedai menjualnya separuh daripada harga pasaran contohnya jika harga pasaran RM5,000 mereka akan jual pada harga RM2,500," katanya.

Noorzainy berkata, polis turut menahan dua pemilik kedai basikal berusia 44 dan 66 tahun sebelum mereka dibebaskan dengan jamin polis.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan basikal berjenama yang dirampas selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan basikal berjenama yang dirampas selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 4:09 PM