NOR HISHAM bergambar bersama kakitangan DBKL ketika majlis persaraannya di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
NOR HISHAM bergambar bersama kakitangan DBKL ketika majlis persaraannya di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Sesungguhnya saya merindui DBKL," demikian kata-kata terakhir meruntun hati Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang bersara wajib sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau gagal menahan sebak ketika menyampaikan amanat terakhirnya di hadapan ratusan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada majlis perpisahan di Menara DBKL, di sini.

Katanya, tanpa sokongan padu 10,000 kakitangan DBKL, beliau mungkin tidak mampu menunaikan tanggungjawab selama dua tahun dengan menggalas jawatan itu.

"Kamu (semua) terbaik. Saya selalu merasakan tuan puan sebagai rakan sekerja saya.

"Bagi saya, saya lebih suka bercakap dengan orang luar kita, kami sebab bukan saya seorang bekerja, tetapi tuan puan yang bekerja untuk DBKL ini.

"Apalah ada pada datuk bandar ini kalau tak dapat sokongan 10,000 kakitangan DBKL," katanya pada majlis itu.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun memegang jawatan itu, semua kakitangan sudah melakukan yang terbaik.

"Kita memudahkan cara, membantu orang susah, orang muda dan bangunkan ekonomi. Itulah sasaran kita.

"Peliharalah DBKL untuk Kuala Lumpur. Jadikanlah DBKL bukan bertaraf dunia, tetapi bertaraf membantu orang ramai lebih-lebih lagi dalam pasca Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, beliau yakin rancangan menaik taraf ibu kota akan diteruskan di bawah kepimpinan penggantinya, Datuk Mahadi Che Ngah.

Nor Hisham dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 pada Oktober 2018 sebelum kontrak lantikan itu tamat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 4:09 PM