GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah disahkan positif Covid-19 selepas baharu daripada membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sumber berkata, Exco berkenaan sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk rawatan mulai semalam.

Difahamkan, beliau menjadi kontak rapat kepada pembantunya yang disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Media melaporkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai berkata, tiga Exco tidak menghadiri Mesyuarat Exco semalam, berikutan perlu menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, lebih 400 individu sudah disaring berikutan tercetusnya Kluster Tembok di negeri itu.

Katanya, saringan turut membabitkan kakitangan Penjara Alor Setar.

"Semalam seramai 190 individu sudah disaring dan keseluruhan lebih 400 orang disaring khususnya kontak rapat, termasuk hari ini. Tindakan segera ini diambil untuk mengekang penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati dalam pada itu turut mengingatkan agar rakyat dan pimpinan kerajaan negeri terus berdisiplin mengamalkan norma baharu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) terutama, mengelak bersalaman dan berlaga pipi ketika berjumpa.

"Hanya cara itu sahaja kita dapat memutuskan rantaian Covid-19. Jangan leka kerana kita mahu mengelak kluster baharu seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 4:28 PM