ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Semua pihak perlu mengelakkan politik berlebih-lebihan ketika negara sedang berdepan ketidakstabilan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19.

Mengulas mengenai pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu bahawa beliau sudah mempunyai cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga sudah berakhir dan kini masa untuk menunaikan janji.

"Kita perlu terus fokus. Kita perlu memberi banyak perhatian untuk memastikan ekonomi terus berjalan," katanya pada sidang media, tadi.

Beliau berkata, negara berhadapan dengan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 sebelum ini termasuk kehilangan pekerjaan dan mereka mengharapkan dasar kerajaan yang boleh membantu mereka.

Katanya, jika pemimpin terus menerus berpolitik, ia akan membawa kepada ketidakstabilan yang berterusan dan menyebabkan pelabur tidak yakin untuk melabur di negara ini.

"Kepentingan negara patut diutamakan dan semua pihak termasuk pembangkang perlu bekerjasama. Kita semua perlu bersama-sama dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiidn Yassin) supaya kerajaan dapat menjalankan tanggungjawabnya.

"Apabila tiba masanya, pilihan raya boleh diadakan dan semua boleh bertanding dan rakyat membuat keputusan mereka," katanya.

Annuar berkata, isu dakwaan Anwar juga tidak akan dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat antara UMNO dan PAS akan datang.

Katanya, di peringkat UMNO sendiri, kepemimpinan parti juga tidak tahu menahu siapa yang dikatakan menyokong itu.

Selain itu, Annuar berkata, beliau sendiri yang menerima apa dikatakan sebagai senarai nama Ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar, serta sudah bertanya kepada mereka.

"Saya ada bertanya dengan kawan-kawan kerana saya ada mendapat senarai orang tertentu akan menyokong Anwar dan sebagainya dan apabila saya menghubungi mereka, semua menafikannya.

"Saya juga keliru dengan dakwaan itu. Saya juga sudah bercakap dengan Presiden Parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)... Mungkin di peringkat individu tetapi jelas bukan di peringkat parti.

"Parti tidak ada hasrat untuk membincangkan isu ini. Mungkin juga kerana PRN Sabah kerana pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum hari mengundi, jadi saya tidak pasti," katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah tentu tidak perlu dibincangkan di peringkat parti kerana ia tidak ada kena mengena dengan keputusan parti.

Katanya, pendirian UMNO apa saja yang mahu dilakukan, ia perlulah secara keputusan bersama manakala sebarang perbincangan bukanlah dengan Anwar dan DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:10 PM