DR YUSERRIE  Zainuddin bertemu 21 penuntut yang menerima insentif pendidikan Yayasan UMP  pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan Yayasan UMP di Dewan Bankuat UMP Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
DR YUSERRIE Zainuddin bertemu 21 penuntut yang menerima insentif pendidikan Yayasan UMP pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan Yayasan UMP di Dewan Bankuat UMP Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Asrol Awang


Kuantan: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan penuntut dari Sabah dan zon merah secara bersemuka di kampus UMP Pekan dan Gambang yang dijadualkan secara berperingkat bermula 12 Oktober hingga 14 Oktober ini.

Sehubungan itu, proses pendaftaran penuntut baharu dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober ini bagi tujuan pengaktifan status sebagai penuntut UMP termasuk bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMP turut mengambil langkah menangguhkan kemasukan penuntut yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.

"Arahan penangguhan kemasukan penuntut secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMP.

"Proses pendaftaran penuntut baharu dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih di Sabah dan zon merah," katanya dalam kenyataan media media, hari ini.

Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan zon merah kekal seperti dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Katanya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:17 PM