Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Ciapan yang dimuatnaik Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui akaun Twitternya awal pagi tadi adalah peringatan untuk semua rakyat Malaysia untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Beliau yang mengulas soalan jika ciapan itu merujuk kepada bayangan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula, berkata hantaran sedemikian sudah dilakukannya sejak awal penularan Covid-19 di negara ini.

"Perkara itu bukan perkara baharu ketika saya 'tweet'.

"Sekali lagi saya nasihat rakyat Malaysia yang tidak ada urusan penting dinasihatkan duduk di rumah.

"Kalau kita nak keluar dari rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)... Itu tujuan utama saya 'tweet', hanya memperingati rakyat Malaysia untuk duduk di rumah kalau tiada urusan penting," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang mempunyai urusan penting di luar perlu mematuhi SOP selain mengamalkan 3 W iaitu cuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka dan patuh amaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mengelakkan kawasan sesak dan sempit, serta bersembang dekat.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memuatnaik ciapan 'how about all stay athome for awhile again' menyebabkan ramai pengguna media sosial menganggap beliau membayangkan PKP akan dilaksanakan semula.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, semua pihak termasuk pengurusan sekolah perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan itu.

Ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor jika anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, beliau berkata, perkara itu memang dibincangkan KKM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Memang risiko tetap ada. Kalau tak nak risiko kita semua duduk di rumah. Tetapi kalau kita keluar dari rumah, kita kena menguruskan risiko itu.

"Jadi setakat ini di sekolah kalau tiada jangkitan kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan antara guru dan murid dan kita tutup sekolah serta menjalankan proses nyah cemar dan nyah kuman di kawasan sekolah.

"Tapi setakat ini tiada laporan ada kluster di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:08 PM