WEE KA SIONG
WEE KA SIONG
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Semua operator terminal dan stesen termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam di seluruh negara akan melaksanakan langkah pencegahan Covid-19 dan saringan kesihatan lebih ketat bermula esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, selain itu, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut diperketatkan.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan pembersihan atau disinfeksi, mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak termasuk kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

"Langkah itu diambil berikutan 260 kes positif dilaporkan hari ini dan peningkatan sehingga angka tiga digit ini pastinya membimbangkan kita semua.

"Saya yakin dan percaya kita semua tidak mahu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi seperti yang dilalui Mac lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun atau pencuci pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Elakkan tempat sesak jika tiada keperluan penting dan segera ke klinik atau hospital sekiranya mengalami simpton atau tidak sihat.

"Melawan pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:46 PM