Penduduk Kampung Batu 23, Sungai Nibong mengangkat 'banner' bagi menuntut pembinaan jejantas di kampung itu, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Penduduk Kampung Batu 23, Sungai Nibong mengangkat 'banner' bagi menuntut pembinaan jejantas di kampung itu, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Entah berapa ramai penduduk yang maut dirempuh kenderaan sejak lima tahun lalu namun jejantas diharapkan masih belum dibina hingga kini.

Susulan itu kira-kira 2,000 penduduk Kampung Batu 23 dan Parit 12, Sungai Nibong, di sini, menggesa pihak berwajib membina jejantas bagi menangani isu kemalangan maut dan lalu lintas berpunca dari pembinaan lebuh raya di Jalan Persekutuan 5 (FR5).

Mereka mengharapkan pembinaan jejantas itu bagi mengelakkan kemalangan dari terus berlaku.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Baharuddin Ahmad berkata, ketiadaan jejantas memberi kesan kepada penduduk dan pelajar sekolah ketika melintas jalan.

Beliau berkata, beberapa kematian membabitkan pengguna jalan raya direkodkan di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

"Jalan raya di sini umpama 'perangkap maut' kepada penduduk berikutan kebanyakan kenderaan dipandu laju.

"Malah, segelintir pemandu kenderaan juga tidak memberi laluan kepada penduduk untuk melintas jalan. Ini membahayakan penduduk yang rata-rata terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak," katanya tadi

Menurut Baharuddin, ibu bapa juga meluahkan kebimbangan ketika menghantar anak mereka ke dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nibong dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Nibong kerana dua sekolah ini dipisahkan dengan jalan raya itu.

"Dua surat permohonan jejantas sudah dihantar kepada Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya.

"Kalau Pasir Panjang dan Simpang Lima boleh dapat jejantas. Kenapa kampung kami tidak dapat (jejantas) hingga ke hari ini? Mohon pihak bertanggungjawab bina jejantas demi kebaikan penduduk," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Jamingan Mongin, 69, berharap pembinaan jejantas disegerakan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Dulu, sebelum adanya pembinaan lebuh raya, penduduk mudah untuk melintas jalan termasuk ke masjid, kebun kelapa sawit serta sekolah.

"Malah, penduduk terpaksa berhati-hati dengan kenderaan yang sentiasa bertali arus sama ada siang dan malam. Ini sedikit sebanyak menyukarkan penduduk dan pihak berwajib perlu mengambil berat akan hak kami di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:51 PM