Rahmah (kiri) bersama enam daripada tujuh anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Senama Ulu, Rembau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Rahmah (kiri) bersama enam daripada tujuh anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Senama Ulu, Rembau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Rembau: "Saya akan terus ambil upah memotong rumput dan menjual kuih demi menyara tujuh anak," kata ibu tunggal, Rahmah Abdullah, 45, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Senama Ulu di sini.

Rahmah perlu menyara tujuh anak berseorangan selepas suaminya, Nur Affandy Norman, meninggal dunia akibat angin ahmar dua tahun lalu.

Ketika ini, Rahmah mengambil upah memotong rumput di rumah orang selain menjual kuih pada sebelah petang.

"Bukan mudah sebagai ibu tunggal untuk menyara tujuh anak dengan melakukan dua kerja pada satu masa.

"Namun saya reda dan sanggup melakukannya demi anak-anak.

"Suami meninggal dunia ketika anak bongsu yang juga baru berusia tiga bulan," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) kelmarin.

Menurut Rahmah, anaknya berusia dua tahun setengah sehingga 23 tahun membabitkan dua lelaki dan lima perempuan.

"Tidak ada istilah 'cuti' bagi saya. Saya juga mengusahakan karipap sejuk beku untuk pasaran tempatan selain tempahan.

"Alhamdulillah, rezeki tetap ada biarpun berdepan kesulitan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh keluar bekerja.

"Selain itu, saya juga menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain RM250 daripada Baitulmal," katanya.

Sumbangan kepada keluarga ini boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05300-41-00007698-6 atas nama Rahmah Abdullah.

Wanita bersemangat waja ini berkata, anak sulungnya, Norlaila Quidrinya, 23, bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel di Rembau sejak dua tahun lalu dan dia banyak membantu keluarga.

"Mesin pemotong rumput yang saya gunakan kerap rosak dan ia memberi kesan kepada pendapatan.

"Norlaila banyak membantu khasnya daripada segi perbelanjaan adik-adiknya untuk ke sekolah.

"Pada masa sama, jika saya memotong rumput, anak-anak yang sudah dewasa turut membantu mengumpulkan rumput yang dipotong, dibuang atau terus dibakar di tempat yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9 Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sudah membantu keluarga Rahmah sejak dua tahun lalu.

"Keluarga Rahmah dalam pemantauan kami dan anak-anaknya adalah penerima bantuan tahunan 'Back To School'.

"Tuan rumah juga memberi kebenaran kepada keluarga ini untuk mendiami kediaman ini secara percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 4:52 PM