PETIKAN video yang tular.
PETIKAN video yang tular.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis menahan dua pelajar lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di perkarangan sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 14 tahun ditahan sejurus mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sekolah sama, membuat laporan polis, semalam.

"Kami menerima laporan pada 11.28 pagi semalam berhubung satu video tular melalui applikasi WhatsApp yang berdurasi 30 minit memaparkan seorang pelajar sekolah dipukul oleh dua orang pelajar yang lain.

"Hasil semakan lanjut mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah sekolah di Seremban, selepas waktu sesi persekolahan.

"Dua suspek merupakan pelajar sekolah terbabit telah ditangkap dan diberi jamin polis dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, suspek dipercayai memukul mangsa kerana selisih faham.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 4:39 PM