GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Remaja lelaki di Bukit Kuang di sini, ditahan kerana memukul dan menendang kakaknya hingga cedera disebabkan meminta semula telefon bimbit yang dipinjamkan sebelum ini.

Mangsa berusia 18 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci mengalami bengkak tangan selain lebam dan sakit seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, kelmarin.

"Suspek berusia 17 tahun disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

Terdahulu, sumber berkata, mangsa dipukul dengan topi keledar di tangan selepas meminta telefon bimbit yang dipinjamkan kepada suspek, dalam kejadian pada 11 pagi Jumaat.

Suspek dikatakan tidak puas hati dengan desakan itu dan terus bertindak agresif dengan memukul kepala mangsa dengan kasut selain menendang perut kakaknya hingga jatuh.

"Mangsa yang mengalami bengkak dan menanggung kesakitan di seluruh badan, kemudian membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 2:11 PM