Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Penahanan bot pancung membawa kepada pembongkaran aktiviti penyeludupan rokok menggunakan jalan laut di negeri membabitkan rampasan RM2.3 juta.

Rampasan itu membabitkan 200 bungkusan berisi dua juta batang rokok putih bernilai RM1.49 juta termasuk cukai dan selebihnya nilai rampasan membabitkan tiga bot pancung dan sebuah lori.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tangkapan dibuat pada Ops Damai, kira-kira satu batu nautika daripada muara pantai Sabak di sini, jam 7.30 pagi semalam.

"Kami mengejar bot terbabit selama setengah jam sebelum menahannya yang tersekat di muara.

"Ketika itu juga, kami turut menemui dua bot pancung dan sebuah lori di pesisir pantai sedang memunggah rokok seludup.

"Kami dapat merampas rokok serta kenderaan terbabit namun penyeludup dapat meloloskan diri," katanya pada sidang media di Jeti APMM Tok Bali hari ini.

Menurut beliau, taktik diguna ialah, bot pertama akan menceroboh perairan negara terlebih dahulu disusuli bot kedua diikuti bot ketiga dua jam kemudian.

Penyeludup kemudiannya menjatuhkan bungkusan di pantai sebelum dibawa keluar menggunakan lori.

"Rampasan ini adalah kejayaan terbesar dicapai APMM sepanjang 14 tahun. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

ROKOK putih yang dirampas oleh anggota Maritim Kelantan dengan anggaran bernilai RM2.3 juta di Perairan Pantai Sabak dalam Op Damai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ROKOK putih yang dirampas oleh anggota Maritim Kelantan dengan anggaran bernilai RM2.3 juta di Perairan Pantai Sabak dalam Op Damai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 6:37 PM