Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seorang lelaki serta wanita yang berjiran dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ipoh di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap satu sama lain.

Majistret Nabihah Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Fong Kok Sing, 40, dan Chen Ching Wei, 43, selepas membenarkan permohonan peguam bela yang mewakili mereka, Ranjit Singh menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Sebelumnya, kedua-duanya yang dibacakan kertas pertuduhan secara berasingan oleh jurubahasa, mengaku bersalah.

Nabihah turut menasihati kedua-duanya agar tidak mengulangi pergaduhan itu bagi mengelakkan mereka kembali ke mahkamah atas kesalahan sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Sing dan Ching Wei didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain di No 16, Laluan Chemor Maju 16, Taman Chemor Idaman di Kinta di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 30 September lalu.

FONG Kok Sing, (kanan) dan Chen Ching Wei, 43, (kiri) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan antara satu sama lain. FOTO Sharul Hafiz Zam
FONG Kok Sing, (kanan) dan Chen Ching Wei, 43, (kiri) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan antara satu sama lain. FOTO Sharul Hafiz Zam

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan.

Terdahulu, Ranjit memberitahu mahkamah yang kedua-dua tertuduh bersetuju untuk menyelesaikan kes secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Difahamkan, masalah dan perselisihan faham yang terjadi berpunca daripada isu pembuangan sampah di kawasan kediaman.

Sebaik prosiding selesai, kedua-duanya dilihat saling bermaafan dan bersalaman di luar mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 2:33 PM