LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang lelaki dan anak saudaranya, seorang wanita ditahan bersama dadah heroin dan syabu seberat 68 gram (g) di sebuah hotel di Jalan Kuala Temonyong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 51 tahun dan wanita 43 tahun dipercayai aktif mengedar dadah di Kampung Bukit Malut di sini, ditahan pada 2.30 pagi.

"Kedua-dua suspek yang cuba mengaburi pihak berkuasa ketika melakukan kegiatan jenayah dengan bersembunyi di hotel.

"Pemeriksaan atas tilam dalam bilik dihuni mereka menemui dadah jenis heroin seberat 53.3 g dan syabu 14.7 g," katanya pada satu kenyataan, semalam.

Mohd Iqbal berkata, turut dirampas satu gunting besi dan bungkusan plastik kecil dipercayai peralatan digunakan membungkus dadah.

"Kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Laporan bersiri Skuad Khas Harian Metro berkaitan isu dadah Langkawi disiarkan di muka depan akhbar ini pada 3 September lalu yang membongkar kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil didakwa dikawal anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Isu itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengatasinya.

Pendedahan diteruskan apabila akhbar ini menyiarkan kes meragukan membabitkan kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar yang maut dan juga dikatakan antara tokan yang dilindungi polis.

Turut maut dalam tragedi kebakaran itu adalah isteri dan anak lelaki Pablo Escobar Langkawi berkenaan.

Siri ketiga disiarkan Harian Metro memaparkan antara modus operandi sindiket adalah dadah diseludup dari negara jiran terutama sebab banyak pulau tidak berpenghuni di perairan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Dua lelaki tempatan dipercayai tokan dadah turut ditahan dengan semua mereka itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Harian Metro turut melaporkan dalam siaran muka depan bertajuk Rangkaian Dadah Langkawi Digempur pada 10 September lalu.

Terbaharu, susulan pendedahan berkenaan, Bukit Aman mengklasifikasikan kematian Pablo Escobar Langkawi kepada kes bunuh (302 Kanun Keseksaan) berbanding kematian mengejut yang dibuka sejak lebih setahun lalu.

Sebelum itu, beberapa anggota narkotik IPD Langkawi termasuk Mr N sudah dipindahkan manakala JIPS Bukit Aman turun ke Langkawi melakukan siasatan termasuk melakukan ujian saringan air kencing kepada pegawai dan anggota IPD itu.

Sehingga kini, JIPS masih belum mengumumkan hasil siasatan berkenaan. Namun, ia dipercayai akan dibuat dalam masa terdekat.

Berita berkaitan:

  • Mat Salam tumpas, Mapler ghaib
  • Perlu operasi bersepadu banteras dadah, judi

    Bersihkan Langkawi daripada unsur negatif - PPMM

    Siasatan kes dadah di Langkawi dibuat secara menyeluruh

    Lindungi sindiket dadah: Dua polis ditahan

    Langkah drastik atasi kartel di Langkawi

    Bebaskan bumi Langkawi dari dadah

    'Jangan tuding jari pada satu pihak' - Ketua Pengarah AADK

    PDRM jamin siasat kes dengan telus - Ketua Pengarah AADK

    Rakyat sedang perhatikan kita!

    Pegawai penyiasat didapati cuai

    Dua lagi tokan dadah Bukit Malut ditahan

    Pablo Escobar Langkawi: Polis lawat semula lokasi kejadian

    Polis klasifikasi kematian Pablo Escobar Langkawi kes bunuh

    PDRM jamin siasat kes dengan telus

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 4:14 PM