DATUK Seri Azam Baki ketika temubual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm. FOTO ihsan MACCFM
DATUK Seri Azam Baki ketika temubual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm. FOTO ihsan MACCFM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Belum ada selebriti tampil membantu siasatan kegiatan 'mencuci' duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber SPRM berkata, sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta individu terbabit supaya tampil membantu siasatan.

"Belum ada selebriti yang dipercayai menerima wang daripada sindiket terbabit tampil namun mereka diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan SPRM," katanya.

SPRM memaklumkan mempunyai senarai individu, termasuk selebriti dan ahli perniagaan tanah air yang dikesan terbabit dalam kegiatan mencuci wang haram milik sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian.

Susulan itu, Azam dilaporkan berkata, individu terbabit diminta tampil kepada SPRM secara sukarela, sebelum mereka dipanggil membantu siasatan.

Menurut sumber, siasatan SPRM mendapati sekurang-kurang 10 hingga 15 selebriti terbabit menerima dana daripada sindiket ini untuk dijadikan modal menjalankan perniagaan.

Sindiket menawarkan wang pelaburan dan ada dalam kalangan selebriti mengetahui modus operandi sindiket ini termasuk bekerja dengan mereka.

Dalam pada itu, SPRM selesai merakam keterangan 13 pegawai polis termasuk Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, mereka yang dipanggil terdiri daripada pelbagai pangkat termasuk Asisten Komisioner.

"Buat masa ini tiada tangkapan baharu dan mereka yang dipanggil ini juga tidak ditahan dan dilepaskan selepas selesai memberi keterangan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan mencuci duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

#kw rakam, keterangan, sprm, selebriti

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 2:35 PM