GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Tiga banduan lelaki di Penjara Seberang Perai, Jawi, di sini yang disahkan positif Covid-19 tidak bercampur dengan banduan lain dan ditempatkan di blok asing kerana baru saja dimasukkan ke penjara sejak dua minggu lalu.

Ketiga-tiga banduan berkenaan sebelum itu ditempatkan di Penjara Reman Pulau Pinang sebelum dimasukkan ke Penjara Seberang Perai selepas dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, mengikut prosedur setiap banduan baru yang masuk ke penjara akan ditempatkan terlebih dulu dalam blok lain dan tidak bercampur dengan banduan lama.

"Tiga lelaki ini memang diasingkan dengan banduan lama yang berada di situ kerana ia adalah prosedur pihak penjara. Setakat ini kita belum tahu bagaimana tiga banduan itu mendapat jangkitan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, ujian saringan Covid-19 dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas banduan baru yang dimasukkan Penjara Seberang Perai pada dua hari lalu susulan terdapat peningkatan kes di Penjara Reman Pulau Pinang.

Roslan berkata, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

"Semua banduan baru yang tinggal dalam sel sama dengan tiga lelaki itu kini dikuarantin dan ujian saringan Covid-19 juga sudah dijalankan ke atas mereka.

"Kakitangan penjara yang mempunyai kontak rapat dengan tiga banduan itu turut melakukan ujian selain diasingkan dan perlu menjalani kuarantin," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, setakat ini tiada keperluan untuk semua banduan lama menjalani ujian saringan Covid-19 kerana mereka tidak bercampur dengan banduan baru namun pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa.

KKM hari ini memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan dekat situ disahkan positif Covid-19.

Sehingga kini, sebanyak 160 kes positif Covid-19 direkodkan bagi Kluster Penjara Reman Pulau Pinang.

Kes pertama tercetus membabitkan seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di penjara dan disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 9:37 PM