Antara individu yang dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka di Labuan. Foto Juwan Riduan
Antara individu yang dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka di Labuan. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

Labuan: Padah kerana tidak mengenakan pelitup muka, enam individu dikompaun RM1,000 dalam Op Bersepadu Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, semalam.

Operasi selama dua jam bermula 2.30 petang itu membabitkan 30 anggota termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Penguatkuasa Perbadanan Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, operasi yang disasarkan di seluruh kawasan Labuan dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan sekali gus mengeluarkan kompaun terhadap individu yang gagal mematuhi SOP.

"Hasilnya, lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 36 tahun dikenakan kompaun di enam lokasi berbeza atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Antara lokasi individu yang dikenakan kompaun iaitu di hadapan premis makanan, kedai runcit, dobi dan kawasan awam yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Farid berkata, semua individu terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020 dan dikenakan kompaun bernilai RM1,000 setiap seorang.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan itu turut memeriksa sebanyak 48 premis di sekitar Labuan.

Katanya, polis akan terus melaksanakan Op Bersepadu Penguatkuasaan SOP PKPP bagi membendung penularan wabak Covid-19 di pulau ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 12:45 AM