ANGGOTA polis bersama tentera dan RELA menutup dan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang di sini, bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO DANIAL SAAD
ANGGOTA polis bersama tentera dan RELA menutup dan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang di sini, bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Pengurusan Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi, di sini mengambil langkah drastik dengan mengasingkan enam banduan lelaki yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Banduan berusia antara 34 hingga 56 tahun itu diasingkan di sebuah blok asrama yang boleh memuatkan antara 20 hingga 30 tahanan dalam satu masa.

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed, berkata, enam banduan itu kini dirawat serta dipantau petugas kesihatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Kesemua mereka diasingkan selepas terjangkit dengan tiga banduan yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini yang mana semua mereka berada dalam sel sama.

"Mereka juga baharu masuk ke penjara ini dua minggu lalu selepas masing-masing dijatuhi hukuman, namun mereka dimasukkan lebih awal berbanding tiga banduan sebelum ini dan kita tidak tahu bagaimana mereka mendapat jangkitan," katanya, di sini, hari ini.

Roslan berkata, keadaan penjara itu terkawal apabila semua tahanan yang dijangkiti diasingkan dari blok terpisah dari banduan lain.

"Sehingga kini, seramai 240 banduan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan.

"Ujian saringan turut dijalankan terhadap kakitangan penjara dan keputusannya adalah negatif," katanya.

Katanya, ujian saringan Covid-19 akan diteruskan secara berperingkat terhadap semua 2,200 banduan sehingga selesai dalam tempoh beberapa hari lagi.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan di situ dikesan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 2:12 PM