DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. FOTO arkib NSTP
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Pejabat Peguam Negara sedang meneliti kertas siasatan membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang sebelum ini ingkar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Peguam Negara Tan Sri Idris Harun berkata, selepas itu baru keputusan akan dibuat.

"Kita sedang meneliti kertas siasatan sebelum keputusan dibuat," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Mohd Khairuddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian setiap rakyat Malaysia tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.

Muhyiddin sekali lagi mengulangi pendirian sama pada sesi sidang media secara maya pada Selasa lalu, dengan menyatakan polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib dan membayarnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 2:27 PM